facebook KLIK PANGKAH UNTUK TUTUP Button Close
loading...

Kedah Kuatkuasa Hukuman Denda, Penjara Jika Tak Solat Jumaat 3 Kali Berturut



ALOR SETAR - Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaik, Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata, mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat.   

Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Februari lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaik akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.

Syeikh Ahmad berkata, Jaik mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.

"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan. – Bernama
loading...
Kedah Kuatkuasa Hukuman Denda, Penjara Jika Tak Solat Jumaat 3 Kali Berturut Kedah Kuatkuasa Hukuman Denda, Penjara Jika Tak Solat Jumaat 3 Kali Berturut Reviewed by Unknown on 2:19 pm Rating: 5
Powered by Blogger.