facebook KLIK PANGKAH UNTUK TUTUP Button Close
loading...

Kesalahan curi kali pertama potong tangan kanan, kesalahan kedua potong tangan kiri



KOTA BAHARU, KELANTAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan rang undang-undang hudud di negeri itu.

Antara hukuman yang diperuntukkan di bawah kanun itu adalah bagi kesalahan
mencuri kali pertama, pesalah akan dipotong tangan kanan, kesalahan kali kedua
dipotong tangan kiri dan kesalahan kali ketiga pula dipenjara tidak melebihi 15
tahun.

Bagi kesalahan merompak, pesalah boleh dihukum bunuh atau disalib, dihukum
bunuh jika mangsa dibunuh tetapi hartanya tidak diambil dan dipotong tangan
kanan dan kaki kiri jika harta sahaja diambil.

Selain itu, bagi kesalahan zina, pasangan yang berkahwin boleh direjam
sehingga mati manakala belum berkahwin boleh disebat 100 kali dan penjara
setahun.

Kesemua 44 anggota dewan meluluskan rang undang-undang berkenaan dengan sebulat suara. Sejarah tercatat apabila kesemua 12 anggota DUN Kelantan dari Barisan Nasional turut menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Hukum hudud itu bagaimanapun hanya akan digunakan kepada orang Islam sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

PELAKSANAAN HUDUD TERTANGGUH 20 TAHUN

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas
dan takzir, tertangguh pelaksanaannya selama lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993. Ini kerana adanya kekangan dari segi perundangan.

Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan kanun berkenaan menempuh pelbagai
kontroversi terutama tentangan daripada orang bukan Islam khususnya DAP iaitu
rakan PAS dalam pakatan pembangkang.

Semalam, parti Gerakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini,
bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu.

HANYA TERPAKAI KEPADA ORANG ISLAM MUKALLAF SAHAJA

Beberapa pindaan dibuat pada kanun berkenaan iaitu ia hanya terpakai kepada
orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada
orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas
mereka.

Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan
peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.


Pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan
elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.


Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan
undang-undang sedia ada.


Kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi
tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf,
syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).


KESALAHAN MINUM ARAK DAN MURTAD


Kesalahan qazaf pula, pesalah boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali dan minum
arak pula, sebatan tidak lebih 80 kali dan tidak kurang 40 kali.


Bagi kesalahan murtad pula, mesti bertaubat dalam tempoh tiga hari dan jika
enggan, boleh dihukum bunuh.


Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan
Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda
Kelantan.


Speaker DUN Datuk Abdullah Ya'kub kemudiannya menangguhkan sidang DUN kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.


- BERNAMA/ag
loading...
Kesalahan curi kali pertama potong tangan kanan, kesalahan kedua potong tangan kiri Kesalahan curi kali pertama potong tangan kanan, kesalahan kedua potong tangan kiri Reviewed by Unknown on 12:00 pm Rating: 5
Powered by Blogger.